Bahan-bahan untuk membuat Sup Kambing:
1 kilogram daging kambing yang bertulang.
3 sudu besar serbuk perencah sup.
2 biji kentang dipotong besar (dua atau empat).
1 batang lobak merah dipotong dadu.
1 biji tomato dipotong empat.
1 biji limau nipis.
Sedikit serbuk lada hitam.
Garam secukup rasa.
Air secukupnya.
Sedikit minyak (untuk menumis).
1 batang kulit kayu manis (ditumis).
1 kuntum bunga lawang (ditumis).
3 kuntum bunga cengkih (ditumis).
3 biji buah pelaga (ditumis).
4 biji bawang merah (dikisar halus).
2 hingga 3 ulas bawang putih (dikisar halus).
1 inci halia (dikisar halus).
½ inci lengkuas (dikisar halus).
Beberapa tangkai daun sup (dihiris halus).
Beberapa tangkai daun bawang (dihiris halus).
Bawang goreng secukupnya.
4 hingga 5 biji cili padi (jika perlu).
Cara-cara membuatnya:
1-Basuh daging kambing bersama sedikit tepung gandum
sehingga bersih dan toskan.
2-Masukkan air ke dalam periuk anggaran separuh tenggelam daging.
Rebus sehingga lembut. Kalau menggunakan kaedah rebus biasa, masa untuk daging lembut
lebih kurang 2 ½ hingga 3 jam. Jika menggunakan periuk tekanan tinggi, anggaran
masanya ialah 30 hingga 45 minit.
3-Panaskan minyak, tumis bahan-bahan rempah tumis hingga naik
bau. Kemudian masukkan bahan-bahan yang dikisar halus.
4-Masukkan serbuk perencah sup dan tumis sehingga pecah
minyak. Kacau dengan kerap supaya bahagian bawah tidak hangus. Tambahkan
sedikit air jika terlalu kering semasa menumis.
5-Masukkan daging kambing yang telah direbus. Masak seketika
hingga rempah meresap ke dalam daging.
6-Masukkan air rebusan daging, kentang dan lobak merah.
Masak sehingga mendidih.
7-Masukkan serbuk lada hitam dan garam secukup rasa.
8-Masukkan tomato, tutup api, angkat dan hidang.
9-Taburkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng.
10-Masukkan cili padi dan perahkan jus limau nipis.
Cili padi hanya perlu ditambah jika mahu rasa yang lebih pedas.