Jumaat, 23 Februari 2018

Bengkel Pengurusan Aktiviti Dakwah 2018

Shah Alam, 23/02/2018 - Saya sampai awal pagi ke Bulatan Setia Jasa di bandar raya ini. Oleh kerana tiba awal, saya singgah makan dan minum di A&A CAFE yang terletak dalam kawasan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 14. Ia merupakan Masjid Negeri di Selangor.

Saya bertolak dari rumah di Kajang selepas solat Subuh berjemaah di surau berhampiran rumah dan menghantar anak ke sekolah. Kereta yang saya pandu merentasi jalan-jalan di taman perumahan dan membelok ke Persiaran Impian Perdana. Saya meneruskan pemanduan di Persiaran Saujana Impian dan terus bersambung dengan Lebuhraya Cheras-Kajang (E7) serta melalui Plaza Tol Batu 11 (RM1.30). Kemudian, saya memandu kereta di Lebuhraya Hubungan Timur-Barat (E37) dan Lebuhraya Persekutuan serta melalui Plaza Tol Batu Tiga (percuma sejak 01/01/2018). Saya memandu keluar dari lebuhraya melalui Persiaran Sultan, Bulatan Setia Jasa dan masuk ke kawasan Masjid Negeri.

Dari kawasan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 14, saya memandu kereta di Persiaran Masjid, Bulatan Setia Jasa, Persiaran Pegawai dan masuk ke jalan-jalan yang menuju ke Jabatan Pendidikan Selangor (JPS), Seksyen 4. Jarak perjalanan dari Kafeteria Masjid ke JPS ialah sejauh kira-kira 1 kilometer sahaja.

Saya berada di sini kerana telah dipilih oleh Unit Pengurusan Dakwah dan Syiar Islam, Sektor Pendidikan Islam (SPI), JPS untuk menghadiri Bengkel Pengurusan Aktiviti Dakwah, Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Peringkat Negeri Selangor Tahun 2018.

Guru-guru sekolah rendah dan menengah KPM dari negeri Selangor yang telah menjadi Jurulatih Utama Kokurikulum Pendidikan Islam JPS menerima Sijil Penghargaan 2017 serta Lantikan Sebagai Jurulatih Utama 2018 daripada Ketua Sektor SPI, JPS pada hari ini. Saya dan rakan-rakan makan tengah hari di Dewan Utama JPS sebelum pergi ke masjid untuk bersolat Jumaat.

Sabtu, 10 Februari 2018

Program Jelajah Pendidikan KPM di PPDHL 2018

Kajang, 10/02/2018 - Jom raikan kemeriahan Program Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tahun ini di Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat (PPDHL) pada 10 dan 11 Februari 2018. Ia diadakan pada hari ini (Sabtu) dan esok (Ahad) dari jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam.

Program Jelajah Pendidikan KPM 2018 akan diadakan di enam lokasi terpilih mulai bulan Februari ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin bin Senin. PPDHL merupakan lokasi pertama bagi tahun ini.

Pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung seperti kuiz, demonstrasi, cabutan bertuah, pameran yang melibatkan sekolah, guru-guru, murid-murid, pelajar-pelajar, pusat-pusat pengajian, perbankan, gerai-gerai menjual makanan dan minuman serta banyak lagi. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah percuma.

Penerangan dasar pendidikan negara, persembahan pelajar, persembahan kebudayaan, pameran pendidikan dan ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Rozie bin Mohd Rejab (Sabtu malam Ahad) turut diadakan dalam program kali ini.

Program gotong-royong pengurusan tertinggi kementerian telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Beranang pada pagi Jumaat, 9 Februari 2018.

Pihak KPM menjelajah ke seluruh negara untuk program ini yang merupakan platform berkesan dalam mempamerkan kejayaan bidang pendidikan dan keberhasilan murid, selain memberi peluang kepada masyarakat bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan.

Dengan slogan 'Menerajui Perubahan', program berkonsepkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy) bakal melibatkan organisasi-organisasi kerajaan dan swasta antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Perbadanan Tabung Pendididkan Tinggi Nasional dan Yayasan Guru Tun Hussein Onn.

Khamis, 1 Februari 2018

Jenis-jenis Kenderaan Darat

Kenderaan ialah segala jenis kenaikan atau tunggangan seperti kereta, basikal dan kuda. Kenderaan pacuan empat roda pula ialah kenderaan bermotor yang keempat-empat rodanya mempunyai kuasa untuk menggerakkan atau menjalankan kenderan. Manakala kenderaan ringan ialah kenderaan bermotor yang beratnya bersama dengan muatan kurang daripada lima tan seperti kereta, van dan motosikal.

Pelbagai jenis pengangkutan yang boleh kita pilih seperti pengangkutan di darat, air dan udara. Pengangkutan merujuk kepada kenderaan yang membawa seseorang atau sesuatu dari satu tempat ke satu tempat yang lain, biasanya pada jarak yang jauh berbanding jika berjalan kaki.

Selain itu, terdapat juga bermacam-macam jenis pengangkutan awam seperti teksi, bas dan kereta api yang boleh digunakan oleh orang ramai di kawasan tertentu dengan kadar tambang yang telah ditetapkan. Ia merupakan sistem pengangkutan bermotor yang menggunakan kenderaan darat.

Ahad, 21 Januari 2018

Percutian Bersama Rakan Turki 2018

Kajang, 21/01/2018 - Saya solat Subuh berjemaah di surau berdekatan rumah. Hantar dua orang anak ke sekolah mereka kerana ada kelas berkenaan kokurikulum. Saya menghubungi seorang rakan dari Turki dan dia baru keluar dari hotel bersama seorang rakan dari Malaysia. Kami bertiga pernah belajar bersama-sama di University of Jordan dalam tahun 1990-an.

Saya meletakkan kereta di Kawasan Rehat Bukit Dukung (Lebuhraya Cheras-Kajang) - E7 dan menaiki kereta BMW 520 hitam yang dipandu oleh Dr Ahmad Basri Ibrahim. Rakan dari Turki yang bernama Dr Abdul Muttalip Arpa duduk di sebelahnya. Dia datang ke Malaysia kerana berucap dalam persidangan antarabangsa IESCO (International Educational Scientific and Cultural Organization) yang bertajuk "Turkish Experience in Higher Education". Program tersebut telah diadakan di Putrajaya pada hari Jumaat dan Sabtu. Hari ini ialah hari Ahad iaitu hari cuti hujung minggu di sini. Kami pergi ke Genting Highlands. Kemudian makan tengah hari di Restoran Taj Hadramawt di Taman Melati Utama dan pergi ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak. Solat Zohor berjemaah di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIA.

Kami pergi pula ke rumah Dr Ahmad Basri Ibrahim berhampiran Greenwood. Berehat, makan, minum dan solat Asar berjemaah di rumahnya. Kami bergerak ke Putrajaya.

Di Putrajaya, kami bersiar-siar di Dataran Putra. Solat Maghrib berjemaah di Masjid Putra. Kami menghantar Dr Abdul Muttalip Arpa ke Putrajaya Marriott Hotel. Selepas itu, saya pula dihantar ke Kawasan Rehat Bukit Dukung dan mendapatkan semula kereta saya.

Dalam perjalanan pulang ke rumah saya di Kajang, singgah solat Isyak berjemaah di Surau al-Falah, Taman Koperasi Cuepacs.

Sabtu, 13 Januari 2018

Karnival Mahabbah IKIM Selangor 2018

Shah Alam, 13/01/2018 - Saya, isteri dan tiga orang anak kami telah sampai ke Stadium Malawati sebelum masuk waktu Asar. Kami turun dari Proton Exora setelah meletakkan kenderaan berkenaan di kawasan parkir.

Kami bertolak dari rumah di Kajang pada waktu petang. Saya memandu kenderaan merentasi jalan-jalan di taman perumahan dan membelok ke Persiaran Impian Perdana. Saya meneruskan pemanduan di Persiaran Saujana Impian dan terus bersambung dengan Lebuhraya Cheras-Kajang (E7) serta melalui Plaza Tol Batu 11 (RM1.30). Kemudian, saya memandu kenderaan di Lebuhraya Hubungan Timur-Barat (E37) dan Lebuhraya Persekutuan serta melalui Plaza Tol Batu Tiga (percuma sejak 01/01/2018). Saya memandu keluar dari lebuhraya melalui Jalan Subang, Persiaran Sukan, Bulatan Kayangan, Persiaran Sukan dan masuk ke kawasan Stadium Malawati, Seksyen 13. Jarak perjalanan dari rumah ke sini ialah sejauh 42 kilometer sahaja.

Sempena Anugerah Nasyid 2017, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sedang menganjurkan karnival pada 12, 13 dan 14 Januari 2018 (Jumaat, Sabtu dan Ahad) bertempat di Perkarangan Stadium Malawati, Shah Alam. Semua dijemput hadir bagi memeriahkan lagi karnival selama tiga hari ini. Masuk adalah percuma.

Pelbagai aktiviti menarik sedang diadakan. Antaranya ialah Segmen Konti ke Pentas (Tarbiyah dan Mau'izati), Forum Sains dan Islam, Ekspo Pameran dan Jualan, Aktiviti Memanah, Penampilan Pemenang Anugerah Nasyid 2017, penampilan istimewa Maskot Didi & Friends juga Omar dan Hana, pertandingan melukis dan mewarna serta banyak lagi.

Karnival Mahabbah IKIM Selangor 2018 telah bermula pada petang Jumaat dan akan berakhir pada petang Ahad. 
Saya, isteri dan tiga orang anak kami telah pergi ke sini petang tadi (petang Sabtu). Mulai jam 9:00 malam, Anugerah Nasyid 2017 diadakan di Stadium Malawati. Ia sedang berlangsung ketika saya menerbitkan catatan ini. Bagi sesiapa yang berada di rumah atau di mana sahaja, boleh mendengar secara langsung di radio IKIMfm, menonton dalam talian di TV IKIM dan menonton di kaca TV melalui saluran TV al-Hijrah.

Ahad, 7 Januari 2018

Kurikulum Bersepadu Tahfiz Dalam KSSM di SABK

Hulu Langat, 07/01/2018 - Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) telah dilaksanakan di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara pada tahun 2015. Terdapat juga SABK yang baru melaksanakan KBT pada tahun 2018 ini.

KBT adalah kurikulum yang digubal berdasarkan kurikulum tahfiz al-Qur'an dari pelbagai institusi pendidikan agama yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kurikulum ini menggabungkan dua komponen mata pelajaran tahfiz al-Qur'an (hafazan dan kemahiran) dengan sebahagian mata pelajaran sedia ada dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Ia juga dapat memastikan pelajar dapat menamatkan hafazan 30 juzuk al-Qur'an dalam masa 5 tahun pengajian di peringkat sekolah menengah. Tingkatan 1: juzuk 30, 1, 2, 3, 4 dan 5 (enam juzuk). Tingkatan 2: juzuk 6, 7, 8, 9, 10, 11 dan 12 (tujuh juzuk). Tingkatan 3: juzuk 13, 14, 15, 16, 17 dan 18 (enam juzuk). Tingkatan 4: juzuk 19, 20, 21, 22, 23, 24 dan 25 (tujuh juzuk). Tingkatan 5: juzuk 26, 27, 28 dan 29 (empat juzuk).

KPM mewujudkan KBT dalam kerangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 bagi memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Islam dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Pelaksanaan KBT di SABK dapat memberi peluang kepada warganegara mendapat pendidikan tahfiz al-Qur'an dan mengukuhkan pendidikan agama di dalam aliran perdana. SABK merupakan sekolah agama yang berdaftar dengan KPM, ditadbir oleh KPM, pemilik tanah dan bangunan dikekalkan, kurikulum agama negeri dikekalkan serta menerima pelbagai kemudahan.

Bahasa pengantar bagi mata pelajaran kurikulum tahfiz ialah bahasa Arab manakala mata pelajaran KSSM adalah dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. 

Isnin, 1 Januari 2018

Muat Turun Bahan Bahasa Arab 2018

Kajang, 01/01/2018 - Saya sedang berada di rumah ketika menerbitkan artikel ini kerana sekolah-sekolah di negeri Selangor bercuti pada hari ini (Cuti Tahun Baharu 2018). Saya pernah meletakkan Muat Turun Bahan Pendidikan (Contoh) di ruang Reka Letak dalam laman blog ini dan ia dikemaskini mengikut keperluan semasa. Saya juga meletakkan sebahagian daripadanya di ruang catatan ini supaya ia berkekalan jika tiada apa-apa masalah.

Anda dibenarkan untuk memuat turun bahan-bahan yang ada di laman blog ini. Buat suntingan selepas dimuat turun mengikut kesesuaian sekolah masing-masing.

Bahan-bahan tersebut ialah Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), Dokumen Standard Kurikulum (DSK), Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT), Borang Rekod Pentaksiran (BRP), Contoh Rancangan Pelajaran Harian (RPH), Buku Teks dan lain-lain.

Bahasa Arab Tahun 1 (2018):

DSKP di 
https://drive.google.com/file/d/0BzyAS-rxUc-eTjRpcm9IVWhJMVk/view

Bahasa Arab Tahun 2 (2018):

Bahasa Arab Tahun 3 (2018):

Bahasa Arab Tahun 4 (2018):

Bahasa Arab Tahun 5 (2018):

Bahasa Arab Tahun 6 (2018):
Contoh RPH Abad Ke-21 di https://drive.google.com/file/d/1_unwD6BBhEtGjJ_oyHp8bmmUURVEcjJF/view

Isnin, 25 Disember 2017

Jambatan Tertinggi di Malaysia 2017

Rawang, 25/12/2017 - Saya, isteri dan tiga orang anak kami telah melalui Jalan Pintas Rawang (Rawang Bypass) yang mencatat sejarah sebagai jambatan tertinggi di Malaysia. Ia telah dibuka kepada orang ramai bermula jam 6:00 pagi pada hari Rabu, 29 November 2017.

Saya memandu Proton Exora melalui Jalan Pintas Rawang sepanjang sembilan kilometer ini yang menjadi mercu tanda baharu negara kita Malaysia apabila mempunyai ketinggian 58.2 meter dari aras tanah.

Jalan Pintas Rawang mula dibina pada 16 Julai 2005 dan siap sepenuhnya pada 21 November 2017. Ia menghubungkan Serendah dengan Selayang. Laluan ini memendekkan tempoh perjalanan yang mengambil masa hanya 30 minit. Keunikan jalan pintas ini ialah pembinaan struktur tiangnya yang diiktiraf tertinggi di Malaysia. Kami berpeluang menikmati pemandangan panorama yang cantik di sekitar Rawang.

Rabu, 20 Disember 2017

Anak Yang Kedua Berkhatan 2017

Kajang, 20/12/2017 - Saya, isteri dan tiga orang anak kami telah pergi ke Klinik Kita. Kami telah membuat temu janji berkhatan untuk anak kedua dan anak ketiga. Giliran pertama ada seorang budak lelaki yang lain masuk dahulu untuk berkhatan. Setelah selesai, giliran kedua ialah untuk anak ketiga kami (7 tahun) tetapi dia tidak berani. Dia tidak dikhatankan oleh doktor. Ia diteruskan dengan giliran ketiga iaitu untuk anak kedua kami (10 tahun). Dia berjaya dikhatankan oleh doktor. Giliran keempat ada seorang lagi budak lelaki lain. Kami pulang ke rumah.

Takrif khatan (berkhatan) ialah bersunat, bersuci dan masuk jawi. Anak kedua kami berkhatan ketika berumur sepuluh tahun. Berkhatan ialah memotong kulup iaitu kulit pada hujung kemaluan lelaki.

Teknik berkhatan yang dilakukan oleh Klinik Kita merupakan salah satu teknik moden dengan menggunakan peralatan yang dipanggil Diatermi (Diathermy). Peralatan ini adalah menggunakan "frequency electric current" untuk memotong kulit dan menghentikan darah. Harga yang perlu dibayar untuk seorang pesakit ialah sebanyak RM150.00 sahaja.

Rawatan dan penjagaan selepas berkhatan amat penting. Oleh itu, pengetahuan dan peranan ibu bapa dalam melakukan rawatan dapat mempercepatkan proses penyembuhan. Pesakit dinasihatkan berehat dan elakkan daripada melakukan aktiviti lasak serta elakkan kekerapan ereksi (ketegangan) penis. Juga dinasihatkan mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan seperti ubat Tahan Sakit (Analegesic), minum 10 mililiter (3 kali sehari selepas makan) dan ubat Antibiotik, minum 10 mililiter (3 kali sehari selepas makan). Tiada pantang larang yang khusus bagi pemakanan dan minuman. Walau bagaimanapun, pesakit boleh juga mengikuti petua-petua atau adat kebiasaan orang Melayu seperti mengurangkan pengambilan udang, belacan, telur dan sebagainya.

Ada sesetengah pesakit mengalami pembengkakan. Perkara ini adalah biasa selagi tiada jangkitan. Bengkak tersebut akan mengecil dengan sendiri. Tindakan yang paling mudah dilakukan oleh pesakit adalah dengan mengurangkan aktiviti seperti berlari atau aktiviti-aktiviti lain yang boleh mempengaruhi pembengkakan. Sekiranya dalam beberapa hari bengkak tersebut semakin membesar, segera dapatkan nasihat doktor untuk rawatan selanjutnya. 

Ahad, 17 Disember 2017

Percutian ke Perlis dan Pulau Pinang 2017

Saya, isteri, tiga orang anak kami, sebahagian adik-beradik dan saudara-mara di sebelah isteri saya bercuti ke utara Malaysia selama 3 hari 2 malam. Malam pertama kami menginap di Homestay (Guest House) De Lente, Nombor 6, Jalan Putra 7, Taman Putra Utama, 01000 Kangar, Perlis. Ia merupakan sebuah rumah berkembar/ Semi D (Semi-Detached) dua tingkat yang mempunyai empat buah bilik tidur, sebuah ruang tamu, sebuah ruang dapur, empat buah tandas (bilik air), dua buah stor dan sebuah ruang keluarga serta balkoni. Malam kedua pula kami menginap di The Blanket Homestay (Guesthouse), Nombor 29, Lorong Sembilang 34, Seberang Jaya, 13700 Perai, Pulau Pinang. Ia merupakan sebuah rumah teres dua tingkat yang mempunyai enam buah bilik tidur, sebuah ruang tamu, sebuah ruang dapur, lima buah tandas (bilik air), sebuah stor dan sebuah ruang keluarga serta balkoni.     

Jumaat, 15 Disember 2017 (hari pertama). Saya, isteri dan tiga orang anak kami bertolak dari rumah di Kajang (Selangor) pergi ke Senawang (Negeri Sembilan). Kami seramai 27 orang dan seorang pemandu bas (Encik Amran) menaiki sebuah bas (NDB 8181) di Wanija Industries (M) Sdn Bhd. Jam 10:15 pagi bas bergerak meninggalkan lokasi. Dalam perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan/ PLUS (E1), kami berhenti sekejap di Hentian Sebelah Tanjung Malim (Perak) dan berhenti lama di Kawasan Rehat Tapah (Perak). Menunaikan solat serta makan dan minum. Meneruskan perjalanan, berhenti sebentar di Kawasan Rehat Gunung Semanggol (Perak), stesen Petronas Changlun (Kedah) dan sampai ke homestay di Kangar (Perlis) pada waktu Maghrib. Kami mendaftar masuk, solat, berehat dan makan malam. Keluar semula dengan bas dan pergi ke Kuala Perlis. Melawat Masjid al-Hussain iaitu sebuah masjid terapung berhampiran Jeti Kuala Perlis, menemani anak-anak bermain di taman permainan dan singgah ke Lynda Ikan Bakar (restoran makanan laut).

Sabtu, 16 Disember 2017 (hari kedua). Jam 12:00 tengah malam, kami kembali mendapatkan bas dan menaikinya serta bertolak pulang ke homestay untuk bermalam. Bangun, solat dan berkemas diri. Kami bersarapan, berehat dan mendaftar keluar pada waktu pagi kerana hendak pergi ke Padang Besar (sempadan dua negara). Naik bas pergi ke sana dan membeli-belah di Arked Niaga. Padang Besar merupakan sebuah pekan di negeri Perlis, Malaysia yang bersempadan dengan wilayah Songkhla, Thailand. Dari Padang Besar kami kembali ke Kangar menghadiri kenduri perkahwinan dua orang anak saudara kepada isteri saya yang lelaki (majlis meyambut dua orang menantu perempuan). Kenduri diadakan di Larian Denai, Pengkalan Asam berhampiran Jambatan Gantung Sungai Perlis. Dari Perlis kami menaiki bas menuju ke Pulau Pinang dengan tambahan dua orang penumpang. Mereka ialah emak mentua saya dan cucunya. Bilangan kami menjadi seramai 29 orang penumpang dan seorang pemandu bas. Singgah sebentar di Hentian Sebelah Plaza Tol Jitra (Kedah). Meneruskan perjalanan dan berhenti pula di kedai Jeruk Madu Pak Ali (Pengilang Jeruk Buah-buahan Pulau Pinang) cawangan Wakaf Seetee Aisah, Seberang Jaya. Naik bas semula dan tidak lama kemudian, kami pun sampai ke homestay di Seberang Jaya (Pulau Pinang) pada waktu Maghrib. Kami mendaftar masuk, solat dan berehat. Keluar semula dengan bas dan pergi makan malam di Paparoger Cafe & Delivery, Persiaran Tenggiri, Seberang Jaya. Kembali mendapatkan bas dan menaikinya serta bertolak pulang ke homestay untuk bermalam.

Ahad, 17 Disember 2017 (hari ketiga). Kami bersarapan di homestay, berehat dan mendaftar keluar pada waktu pagi kerana hendak melawat Pulau Pinang pula. Naik bas, memulakan perjalanan dan melalui Jambatan Pulau Pinang (E36). Bas bergerak di Batu Feringgi tetapi kami tidak turun dari bas. Ia berhenti sekejap untuk melihat pantai dari dalam bas. Dalam perjalanan seterusnya, kami turun dari bas dan pergi ke Masjid Terapung Tanjung Bunga, makan tengah hari di Restoran Kapitan (Jalan Lim Chin Guan), solat di Masjid Negeri dan naik ke Penang Hill tetapi perkhidmatan kereta api Bukit Bendera dihentikan buat sementara waktu. Kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku pada awal November 2017 telah menghalang laluan kereta api tersebut. Kami pulang dari Pulau Pinang melalui Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dikenali sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (E28). Bas masuk ke Lebuhraya Utara Selatan/ PLUS (E1) dan kami masih berada di dalam bas ketika ini sedang bergerak menuju pulang ke destinasi.

Percutian kali ini ialah sempena Cuti Akhir Tahun Persekolahan bagi tahun 2017.

Klik Sepanduk Jeehan al-Maliziy Untuk ke Laman Utama

Kenangan di Negara Arab

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang
Klik pada gambar produk.

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Seluruh Alam